“Kami mahu pendidikan percuma”, pinta sebahagian yang lain.
“Macam mana kerajaan baru Pulau Pinang nak pastikan Melayu tidak dipinggirkan, seperti Melayu Singapura?” soal ramai pihak dalam sehari dua ini.
Senarai permintaan orang ramai kepada kerajaan baru yang mula dibentuk di peringkat negeri, begitu panjang. Sepanjang manifesto pilihanraya sebagaimana yang dikempenkan.
Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, bertepuk sebelah tangan itu adalah angan-angan. Kita tidak mungkin dapat melihat perubahan jika hanya menyerahkan segalanya kepada kerajaan. Sebahagian daripada belanja besar yang menjadi liabiliti negara, datang daripada habit kita sendri.
Sikap kita yang masih jauh daripada bijaksana mengendalikan sampah sarap hasil rumah masing-masing, mendesak kerajaan dan alam sekitar untuk menanggung beban yang besar.
Sikap kita terhadap pemanduan di jalan raya yang tidak beretika, memandu mabuk atau secara emosional, menghasilkan masalah yang sangat membebankan perkhidmatan kesihatan negara kita.
Dan senarai itu berterusan.
Saya tidak khuatir dengan desakan rakyat kepada kerajaan untuk memperbaiki tahap ekonomi. Dengan integriti dan kemasukan bijak pandai baru ke dalam Parlimen dan DUN di negeri-negeri hari ini, proses itu boleh dijana dari semasa ke semasa.
Tetapi saya ada kebimbangan yang lebih besar.
Bagi saya, kebimbangan terbesar adalah soal keupayaan kerajaan menurunkan kadar jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan.
Inilah kehilangan terbesar di negara ini yang paling saya rasakan. Kejutan budaya yang saya alami sekembalinya ke tanah air selepas 11 tahun merantau, adalah pada kemerosotan tahap keamanan sosial.
Di kampung-kampung, warga emas tidak lena tidur kerana saban malam sentiasa sahaja ada keresahan tentang kejadian pecah rumah. Kecurian sudah sampai ke tahap orang malas mahu membuat laporan polis. Jika setiap hari ada kes bunuh, sejauh mana polis mahu melayan kes kehilangan basikal, besi pagar dipotong dan sebagainya.
Inilah yang menjadi kekhuatiran utama saya.
Apakah plan kerajaan yang baru untuk mengatasi masalah ini?
Bagaimanakah perasaan aman dan selamat boleh dipulihkan?
Apa formulanya?
Saya meyakini bahawa segala kebejatan ini adalah simptom. Ia adalah kesan daripada masalah yang lebih besar.
Saya yakin, formula untuk menyelesaikan segala kebejatan sosial hari ini, ialah pada membawa manusia kembali kepada kehidupan yang bermatlamat. Hidup yang ada makna.
Bekerja bukan sekadar cari makan, kerana makan telah membunuh banyak manusia.
Bekerja bukan sekadar untuk keluarga, kerana telah banyak keluarga yang binasa kerana pekerjaan ibu bapa.
Hidup bukan sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat, kahwin… ia harus lebih dari itu semua.
Kepercayaan Kepada Tuhan…
Rukun pertama negara kita… hidup bertuhan.
Sudahkah Muslim mengambil Allah sebagai Tuhan dalam kehidupan mereka?
Bagaimanakah pula dengan yang bukan Muslim? Sejauh mana agama masih menjadi rujukan moral dan erti hidup mereka?
Atau manusia selesa hidup tanpa Tuhan? Atau bertuhankan sahaja kepada diri sendiri…
Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk kerajaan baru ini mengangkat kembali soal agama.
Caranya, praktikalnya, strateginya… saya serahkan kepada kebijaksanaan pemegang kuasa.
Apa yang saya harapkan hanyalah kehidupan rakyat Malaysia yang tidak lagi pada menjadi hamba kepada diri sendiri. Manusia tanpa Tuhan, sama ada menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil hidupnya, atau seorang demi seorang berlagak seperti tuhan!
Kembalilah kepada agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan