Sabtu, 3 Mei 2008
Akhlaq Zahir Batin..
Assalamualaikum wbt..
Jongkang-jongkit antara amalan lahir dan amalan hati .
Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.
"Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa . Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara. Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai, rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan, pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan, rasa tidak apa-apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa akan masuk Syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa ketuanan . Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, rasa dhoif, rasa jahil, rasa tidak mampu, rasa bergantung harap dengan Tuhan dan sebagainya . Semua ini dinamakan rasa-rasa kehambaan .
Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang dan malam. Sembahyang pun tidak. Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, tetapi dia sangat dihormati dan disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku atau kitab-kitab yang ditulisnya.Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan realiti sebenar orang yang berkenaan.
Apa yang dirasakan tidak semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan dan amalan lahir orang tersebut. Orang yang merasakan dirinya baik mungkin jahat dan orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan yang merasakan dirinya bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas. Jadi yang perlu kita fahami ialah:
1. Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa batin atau dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau dalam hidupnya dia jahat .
2. Siapa yang merasakan dirinya tidak berdosa dia sudah melakukan dosa, kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau dia memang membuat dosa.
3. Siapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga satu dosa.
4. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan merasakan diri ikhlas itu satu sifat mazmumah. Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ‘ketuanan’ yang bersarang di hati seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak berdosa, tidak bersalah, tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh mendatangkan dosa. Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa ini menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan . Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah melakukan syirik khafii (syirik kecil) kerana mahu berkongsi sifat dengan sifat-sifat kemuliaan Tuhan.
Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Justeru itu, buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elaklah dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan, tetapi rasakanlah yang kita ini jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa yang kita rasakan di hati itu lain pula.
Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.
Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang-jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.
waallahualam..
p/s: petikan dr somebody~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan